KUCHING: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng Wei Shien melahirkan rasa kecewanya apabila tidak tersenarai dalam barisan Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.
“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kekecewaan saya dengan barisan Kabinet, memandangkan PBM yang merupakan antara yang terawal memberikan sokongan kepada DSAI (Anwar) untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10, tidak mempunyai perwakilan dalam Kabinet,” katanya dalam catatan di laman sosialnya, sebentar tadi.
Bagaimanapun katanya, sebagai sebuah parti tidak boleh membiarkan kepentingan peribadi kita menghalang kepentingan negara.
“Ketika negara bergerak ke hadapan, kita juga akan memainkan peranan yang terhad untuk mengukuhkan asas kerajaan ini. Itulah yang patut di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Julau itu.
Dalam pada itu, Larry akan memanggil ahli partinya untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan PBM dalam beberapa hari lagi, untuk menentukan hala tuju parti pada masa akan datang.
Beliau menegaskan bahawa PBM masih kekal sebagai parti nasional dan adalah penting untuk mengembangkan parti.
“Saya tidak menolak kemungkinan penggabungan atau membina gabungan kerana itulah jalan ke hadapan dalam landskap politik hari ini,” katanya.
PBM hanya menang satu kerusi iaitu Parlimen Julau pada pilihan raya umum baru-baru ini.