KUCHING: Beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan berikutan ia membabitkan isu perundangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ada juga beberapa masalah yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan.
“Namun, ada yang berkaitan (isu) perundangan yang saya rasa tidak dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan. Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusuf telah mengambil maklum perkara ini,” katanya selepas merasmikan seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1444H/2022M di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas hasil pertemuannya semalam dengan menteri Persekutuan dari Sarawak yang diketuai oleh Fadillah.
Abang Johari berkata, topik perbualan mereka ialah berkisar hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam MA63.
“Saya juga pernah berbincang dengan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri mengenai perkara ini beberapa hari lalu di mana beliau akan memberi perhatian kepada masalah MA63 dan mekanisme dalam membangunkan projek persekutuan di Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN
Keterangan gambar
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat artifak Ahli Falak Islam yang dipamerkan di tapak pameran pada majlis perasmian Seminar Falak Peringkat Negeri Sarawak di pusat Infomasi Islam (IIC) di Kuching hari ini.