DOHA: Harry Kane memuji kejayaan England melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan itu ketika menewaskan Senegal 3-0 di pusingan 16 terakhir, sebentar tadi.
Skuad Three Lions memenangi perlawanan kalah mati dalam tiga kejohanan utama berturut-turut buat kali pertama untuk membentuk pertembungan menarik menentang juara bertahan, Perancis di peringkat lapan terakhir, Ahad ini.
“Perlawanan kalah mati tidak pernah mudah. Kami mempamerkan kematangan yang hebat melalui kejohanan itu,” kata Kane kepada ITV selepas dia kini hanya satu gol di belakang rekod Wayne Rooney yang mengumpul 53 jaringan untuk England.
“Mentaliti berada pada tahap terbaik dari awal dan kami mengambil peluang apabila ia hadir.”
Pada usia 29 tahun, Kane adalah salah seorang pemain senior dalam skuad Gareth Southgate ketika pemain muda Jude Bellingham, Phil Foden dan Bukayo Saka sekali lagi menunjukkan persembahan terbaik mereka.
Saka menjaringkan gol ketiganya dalam kejohanan kali ini manakala Foden menyumbang dua bantuan gol dan Bellingham terbabit dalam dua gol pembukaan.
“Ketiga-tiga mereka memainkan peranan besar dalam jaringan itu. Kami mempunyai skuad gabungan pemain muda dan berpengalaman dan satu lagi kemenangan di pusingan kalah mati,” tambah Kane.
“Selama bertahun-tahun ia bukan mudah untuk England, jadi untuk melakar kemenangan 3-0 adalah malam yang sangat hebat.”
Perancis akan menjadi ujian yang lebih sukar terhadap hasrat England untuk memenangi kejohanan utama pertama sejak 1966.
Kylian Mbappe berada dalam prestasi yang menakjubkan bersama Les Bleus apabila dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Poland untuk mendahului senarai penjaring terbanyak dalam kejohanan itu dengan lima gol. – AFP