KUCHING, 6 November: Pelaksanaan sistem pengesanan kehadiran pengundi secara digital (OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bergantung pada keberkesanan ujian sistem itu semasa PRN Melaka pada 14 November ini.
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Fazil Wel berkata, walaupun penggunaan sistem berkenaan telah dirancang untuk PRN Sarawak, sebarang masalah yang dikenal pasti sepanjang ujian di Melaka boleh menyebabkan SPR mempertimbangkan untuk menangguhkan atau tidak meneruskan pelaksanaannya di Sarawak.
Menurutnya, keputusan itu turut mengambil kira tahap keselamatan siber sistem berkenaan bagi memastikan penggunaannya tidak menjejaskan kelancaran proses pengundian.
“Jika OCR-VA di Melaka menghadapi sebarang masalah, kita akan mengeluarkan kenyataan berhubung pelaksanaannya di Sarawak. Sekiranya ujian di Melaka berjalan lancar dan tahap keselamatan sistem berada dalam keadaan baik, pelaksanaannya di Sarawak akan diteruskan seperti yang dirancang,” katanya ketika memberikan taklimat mengenai persediaan PRN kepada media Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang meningkatkan tahap keselamatan siber negara, manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memastikan sistem berkaitan dinaik taraf bagi mengurangkan risiko serangan siber serta mengawal kesannya sekiranya berlaku insiden.
Jelasnya, Sarawak dipilih sebagai lokasi ujian kerana mempunyai keadaan geografi yang pelbagai, termasuk kawasan pedalaman, pulau serta lokasi yang berdepan masalah liputan rangkaian.
Katanya, ujian di Sarawak penting bagi menilai keupayaan sistem itu beroperasi dalam keadaan sebenar sebelum SPR mempertimbangkan peluasan penggunaannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dari segi operasi, OCR-VA membolehkan nombor kad pengenalan 12 digit pengundi diimbas menggunakan peranti mudah alih oleh Kerani Pengundian Kedua bagi merekodkan kehadiran secara digital.
Pegawai SPR, Nomi Juliana Mohd Redzuan Min menjelaskan bahawa sistem itu tidak mengimbas cip MyKad, sebaliknya hanya membaca nombor 12 digit berkenaan. Sekiranya kad pengenalan rosak atau tidak dapat dibaca, nombor tersebut boleh dimasukkan secara manual.
Selain MyKad, pengundi juga boleh menggunakan lesen memandu yang masih sah, termasuk melalui aplikasi MyJPJ, pasport yang masih sah serta resit sementara kehilangan kad pengenalan JPN 09 atau 11 yang mempunyai nombor 12 digit.
Beliau berkata, proses pengundian masih mengekalkan prosedur sedia ada, termasuk semakan nama dan wajah pengundi, pengesahan identiti serta pengumuman nama pengundi oleh Kerani Pengundian Pertama.

Selepas nombor pengenalan diimbas, Kerani Pengundian Pertama akan mengumumkan nama pengundi bagi membolehkan ejen parti merekodkan kehadiran, sebelum pengundi mencelupkan jari telunjuk kiri ke dalam dakwat pilihan raya dan kehadirannya disahkan dalam sistem serta buku daftar pemilih.
Menurutnya, OCR-VA masih dalam peringkat percubaan dan tidak menggantikan sepenuhnya prosedur manual kerana peraturan pilihan raya ketika ini masih menetapkan keperluan menyemak nama dalam buku daftar pemilih serta mengumumkan nama pengundi.
Katanya, sistem itu membolehkan SPR memperoleh data kehadiran pengundi secara masa nyata berbanding kaedah terdahulu yang memerlukan pegawai menyemak buku daftar pemilih secara manual selepas proses pengundian selesai.
Melalui data digital, SPR dapat memantau jumlah kehadiran pengundi dengan lebih pantas, termasuk mengikut kategori yang diperlukan bagi tujuan analisis dan kajian.
Bagi menangani masalah capaian internet di kawasan tertentu, sistem itu turut menyediakan mod penyimpanan data sementara sebelum maklumat dimuat naik dan disahkan apabila sambungan rangkaian kembali tersedia.
Nomi berkata, kemudahan Starlink juga akan disediakan di kawasan berkaitan bagi membantu memastikan sistem dapat beroperasi sepanjang proses pengundian.
Beliau menjelaskan, ujian awal di Negeri Sembilan sebelum ini dilaksanakan di sebuah sekolah yang mempunyai tujuh saluran pengundian bagi menentukan waktu paling sesuai untuk proses imbasan dilakukan.
Hasil penilaian mendapati proses imbasan paling sesuai dilaksanakan oleh Kerani Pengundian Kedua selepas semakan awal identiti pengundi oleh Kerani Pengundian Pertama.
Nomi berkata, kejayaan ujian di Melaka dan Sarawak kelak akan menjadi asas kepada SPR untuk menilai peluasan penggunaan sistem berkenaan pada PRU akan datang.
Bagaimanapun, penggunaan sistem digital sepenuhnya masih memerlukan penambahbaikan terhadap peraturan dan undang-undang berkaitan sebelum prosedur manual sedia ada dapat digantikan.
Oleh Afiq Sallehi



