PUTRAJAYA; PKR mendominasi barisan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi, diikuti Barisan Nasional (BN) yang semuanya diwakili UMNO.
Lapan pemimpin parti diterajui Perdana Menteri itu dilantik sebagai anggota Kabinet, termasuk Anwar sendiri yang akan turut memegang satu portfolio, Kementerian Kewangan.
Tujuh portfolio lain diterajui Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri) dan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
Seorang lagi Naib Presiden, Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi); Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi Digital); Ketua Wanita, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan).
Dr Zaliha adalah Ahli Parlimen Sekijang yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.
BN sebagai gabungan kedua terbesar dalam kerajaan diterajui Anwar, diberikan enam kementerian dengan seorang dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, iaitu Pengerusinya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid turut diberi tanggungjawab merajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala timbalannya dalam BN dan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menerajui Kementerian Pertahanan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dilantik Menteri Pendidikan Tinggi, manakala Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar).
Ahli MKT UMNO yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pula dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Turut mewakili UMNO adalah bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bersama lima kementerian, iaitu Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pelancongan
serta Kementerian Perpaduan Negara.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof dilantik sebagai TPM merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi; Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Dato Sri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan).
Selain itu, Dato Sri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) dan Datuk Aaron Ago Anak Dagang (Menteri Perpaduan Negara).
Sekutu PKR dalam Pakatan Harapan (PH), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masing-masing diberi empat dan dua kementerian.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilantik Menteri Pengangkutan; Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) serta VN Sivakumar (Menteri Sumber Manusia).
Pemimpin AMANAH pula dalam Kabinet Anwar adalah Presidennya, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Satu lagi parti sekutu PH, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mempunyai Presidennya, Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah pemimpin BERSATU, Armizan Mohd Ali yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).