KUCHING: Dato Sri Fadillah Yusof menganggap jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandangnya bukan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.
Malah kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu, ia juga sebagai pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi melihat pelantikan itu satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.
“Jawatan ini bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Fadillah berkata, beliau akan memikul amanah dan tanggungjawab ini berpaksikan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan mereka memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya.