JULAU: Berikutan tindan deretan lori dikesan memandu secara melawan arus di laluan Lebuhraya Pan Borneo, jajaran Julau-Sarikei baru-baru ini, pihak polis mengadakan ‘OP Pelbagai’ di Jalan Pakan di sini.
Operasi oleh ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (IPD) Julau itu bertujuan mencegah sebarang kenderaan termasuk lori daripada cubaan melawan arus semasa memandu.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Ismuni Umar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang memandu dengan cara berbahaya seperti melawan arus.
‘OP Pelbagai’ itu dijalankan setelah tular video berdurasi 1 minit 56 saat Selasa lalu yang memaparkan empat lori sedang bergerak melawan arus di Kilometer 484.8, Jalan KJD,” katanya hari ini.
Katanya, memandu melawan arus dan berbahaya sehingga menggangu pengguna jalan raya lain boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000.
“Dalam operasi dijalankan semalam, enam saman
telah dikeluarkan termasuk tiada lesen memandu selain kereta memasuki tempat dilarang masuk.
“Usaha berterusan giat dijalankan untuk menahan dan mengambil
tindakan kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan
kesalahan lalu lintas di kawasan yang bersempadan dengan IPD Sibu
dan IPD Meradong,” katanya.