BEKENU, 7 November: Sebanyak 60 unit alat pemadam api mudah alih diserahkan kepada enam kampung di sekitar Bekenu menerusi Program Kita Selamat 2026 bagi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi risiko kebakaran.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, inisiatif anjuran bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta komuniti setempat itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan.
Menurutnya, program berkenaan amat penting khususnya kepada komuniti nelayan di kawasan Pantai Bungai yang perlu mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk bertindak pantas ketika berdepan situasi kecemasan.
Katanya, program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti kesedaran dan demonstrasi keselamatan bagi membantu masyarakat memahami langkah pencegahan serta tindakan awal ketika berlaku kebakaran.
“Usaha kolaboratif seperti itu amat dihargai kerana mencerminkan komitmen Petronas bukan sahaja sebagai syarikat tenaga, malah sebagai rakan pembangunan masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kita Selamat 2026 di Pantai Bungai, di sini, hari ini.
Tambahnya, ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi program berkenaan perlu dipraktikkan serta dikongsikan bersama ahli keluarga dan masyarakat setempat.
“Kesiapsiagaan dan tindakan awal memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kebakaran, sekali gus melindungi nyawa serta harta benda.
“Keselamatan merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan penglibatan semua pihak bagi membentuk komuniti yang lebih peka, bersedia serta berdaya tahan,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu; Pengurus Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak), Miza Ahmad Zaidi; Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB), Jamri Masran serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Oleh Adum Liu




