PHNOM PENH, 7 November: Minggu Filem Malaysia 2026 membuka tirainya di ibu negara Kemboja pada malam Jumaat dengan tayangan Terbang, sebuah filem sukan popular yang mengisahkan pelumba rali terkenal Malaysia, Karamjit Singh.
Penganjuran tahun ini menampilkan filem terbaik yang mengetengahkan kepelbagaian, kekuatan penceritaan dan kemeriahan industri perfileman Malaysia.
Duta Besar Malaysia ke Kemboja Shaharuddin Onn berkata minggu filem itu mencerminkan hubungan mesra antara Malaysia dan Kemboja, khususnya dalam mempromosikan budaya.
“Kerjasama dalam bidang kebudayaan menyediakan platform untuk meningkatkan persefahaman, penghargaan dan rasa hormat terhadap budaya masing-masing. Saya percaya ini juga merupakan elemen penting dalam usaha kami untuk terus memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara dalam hubungan dua hala,” katanya.
Peminat filem di ibu negara Kemboja itu berpeluang menikmati pelbagai filem Malaysia termasuk You Are My Son, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Chelot, Macai dan Tarung: Unforgiven.
Selain itu, filem animasi Ejen Ali The Movie 2 dan filem seram Khadam turut akan ditayangkan.
Tayangan berlangsung di Legend Cinema Olympia Mall dari 6 hingga 12 Nov.
“Di Legend Cinema, ketika kami memulakan usaha memperluas jaringan dan operasi di peringkat serantau, kami percaya pawagam bukan sekadar tempat menonton filem, tetapi juga pusat kebudayaan yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk menikmati dunia penuh keajaiban yang hanya mampu dihidupkan menerusi layar besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Legend Media Group Michael Chai Sze Hou.
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja Hab Touch hadir sebagai tetamu khas pada acara itu.
Minggu Filem Malaysia dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan sokongan Westec Media Limited dan Legend Cinema. – Bernama




