PM arah Peguam Negara menghadap Agong perjelas Perintah Pengampunan Bersyarat Najib

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 7 November: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bagi memperjelas isu pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu perlu, bagi menjelaskan kekangan undang-undang terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap satu lagi kes membabitkan Najib, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya telah minta supaya Peguam Negara segera menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima untuk kes SRC, tetapi ada masalah kerana melibatkan kes kedua iaitu kes 1MDB.

“Ada yang menafsirkan ia berjalan pada tahun 2008, ada yang mengatakan mahkamah tidak memberikan bail ikat jamin, jadi sebab itu perlu masa untuk menetapkan secara muktamad oleh badan kehakiman dan ini bukan bidang kuasa saya,” kata beliau selepas melancarkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan timbalannya Lim Hui Ying serta Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini. – Bernama