KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjangkakan empat Ahli Parlimennya akan dilantik sebagai menteri penuh dalam Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kuota empat menteri itu, jika menjadi kenyataan adalah seperti sebelum ini.
Sebelum Parlimen dibubar baru-baru ini, empat menteri dari Sarawak ialah Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang). Wam Junaidi tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Yang lain ialah Dato Sri Fadillah Yusof selaku Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak ketika ditemui media selepas berakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) petang ini bagaimanapun berkata terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat pelantikan itu kerana menjadi hak Perdana Menteri.
Baru-baru ini, Anwar ada membayangkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) akan diwujudkan di bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen utama kerajaan perpaduan, untuk diisi oleh wakil Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 kerusi dan GPS 23 kerusi.
Media sebelum ini menyebut Fadillah kemungkinan mengisi salah satu jawatan TPM itu sebagai wakil GPS.
Oleh Azreen Keria