KUCHING: Fasa pertama pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo dari Sematan ke Miri dijangka siap pada 2024 dan setakat Oktober lalu, sudah mencapai kemajuan 89 peratus siap.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beberapa pakej lebuh raya itu sudah siap dan bakinya dijangka siap 95 peratus menjelang tahun depan.
“Selebihnya akan disiapkan pada 2024,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Uggah berkata, tujuh daripada pakej projek itu sudah siap sepenuhnya antaranya ialah Seksyen Telok Melano hingga Sematan; Seksyen Serian; Seksyen Jambatan Batang Rajang; Seksyen Julau; Seksyen Jejambat Nyabau; Seksyen Pujut dan Seksyen Selangau.
Mengenai projek Jajaran Jalan Perhubungan Sabah Sarawak (SSLR) fasa satu dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng, Lawas dengan panjang keseluruhan 77 kilometer (km), Uggah berkata ia masih dalam pembinaan.
“Projek ini menunjukkan kemajuan yang baik dan fasa satu dijangka siap pada suku pertama 2026,” katanya.
Mengenai Lebuh Raya Trans Borneo, beliau berkata projek itu bertujuan menaik taraf rangkaian jalan sedia ada kepada dua landasan lebuh raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah dengan Brunei Darussalam.
“Ia meliputi jalan sepanjang 96.3km dan projek ini dibahagikan kepada tiga bahagian termasuk Seksyen Miri (4.9km), Seksyen Limbang (57.3km), Seksyen Lawas (34.1km).
“Ia kini dalam peringkat perancangan dengan pembinaan dijangka bermula pada suku keempat 2023,” katannya.
Ole AZREEN KERIA