KUCHING: Kerajaan Persekutuan yang baharu dituntut untuk mempertimbangkan beberapa perkara yang secara prinsipnya sudah diberi perhatian oleh kerajaan terdahulu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata rundingan dan pelaksanaan perkara ini perlu diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan.
Antaranya ialah:
- Semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan.
- Menuntut agar tanah yang direzabkan untuk kegunaan Persekutuan diserahkan semula apabila ia tidak dibangunkan melebihi lima tahun.
- Menuntut pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 agar dapat melaksanakan projek-projek Persekutuan di Sarawak dengan lebih efisien.
- Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak dapat diinstitusikan dan pindaan sewajarnya dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan agar persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri diperoleh terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
- Pelantikan wakil kerajaan Sarawak sebagai anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu, namun Kerajaan Sarawak berharap agar ia diteruskan dan dilaksanakan dengan segera seperti terkandung dalam Perenggan 24, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
- Kerajaan Sarawak juga akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan supaya tuntutan pertambahan perjawatan negeri Sarawak dapat dilaksanakan agar Perkhidmatan Awam Negeri dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik bagi menampung keperluan rakyat yang semakin meningkat.
Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak berharap Kerajaan Persekutuan yang baharu akan meneruskan rundingan mengenai perkara itu termasuk menerima formula yang dikemukakan.
“Adalah menjadi harapan kerajaan Sarawak, agar perkara ini dapat dimuktamadkan dengan segera supaya penyerahan balik ini dapat dilaksanakan dan kawasan-kawasan ini dapat dibangunkan untuk kemudahan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Mengenai penambahan Ahli Dewan Rakyat, Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak mengusulkan agar pertambahan untuk Sabah dan Sarawak dipertingkatkan hingga 35 peratus.
“Perkara itu dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu, justeru perkara ini hendaklah dilaksanakan bagi memastikan satu representasi yang seimbang selaras dengan semangat dan tujuan asal pembentukan Malaysia,” katanya.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak juga akan terus menyuarakan beberapa perkara yang menjadi kepentingan Sarawak termasuklah isu mengenai duti setem, obligasi Kerajaan Persekutuan di bawah senarai bersama dan pemberian kuasa mengenai alam sekitar selari dengan peruntukan perundangan bagi mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis selama ini.
“Kerajaan Persekutuan yang lalu sudah bersetuju untuk melaksanakan pembangunan keselamatan sempadan termasuk perancangan Joint Border Development di Tebedu-Entikong dan Ba’ Kelalan-Long Midang. Saya berharap ini akan dapat diperinci dan dilaksanakan,” katanya.