KUCHING: Sebanyak 10,634 kes telah berjaya diselesaikan oleh Mahkamah Anak Negeri Sarawak sehingga 24 November 2022.
Menteri di Jabatan Premier, Datuk John Sikie Tayai berkata, ia bersamaan dengan 64.6 peratus daripada 16, 468 kes keseluruhan yang berdaftar.
“Di bawah struktur Mahkamah Anak Negeri semasa, fungsi dan operasi mahkamah hendaklah dilaksanakan oleh Residen dan Pegawai Daerah. Residen dan Pegawai Daerah, yang merupakan ‘Majistret ex-officio’ yang mengetuai kes mahkamah anak negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
“Selain Residen dan Pegawai Daerah, fungsi Mahkamah Anak Negeri di peringkat masyarakat dilaksanakan oleh Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat.
“Penghulu ialah Ketua Penghulu Mahkamah Penghulu di peringkat kampung manakala yang dilantik sebagai Penghulu, Pemanca atau Temenggong ialah Ketua Penghulu dan Ketua Mahkamah Tinggi,” ujarnya.
Pada masa ini, jumlah keseluruhan Majistret dan Pegawai Yang Dipertua yang berkhidmat di Mahkamah Anak Negeri Sarawak ialah 7,119 orang.
“Ia terdiri daripada seorang Hakim yang merupakan Presiden Mahkamah Rayuan Anak Negeri, 58 ‘Majistret Ex-Officio’ (terdiri daripada semua Residen dan Pegawai Daerah), tiga Residen dan 16 Majistret Kontrak Mahkamah Anak Negeri, dan Pegawai Yang Dipertua yang terdiri daripada 6,492 Penghulu, 456 Ketua Mahkamah Ketua dan 93 Ketua Mahkamah Atasan.
“Mahkamah Anak Negeri Sarawak sedang membuat tindakan proaktif dalam menyelesaikan kes tertunggak melalui Majistret Kontrak untuk membantu mahkamah.
“Tumpuan diberikan kepada penyelesaian kes melibatkan pertikaian tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan pampasan tanah,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN