SKUAD Serian FA sedar mereka tiada pilihan selain melakar kemenangan ke atas Sarikei FA dalam aksi saingan Kumpulan A pusingan akhir Liga SSC-FAS pada jam 4.15 petang ini esok di Stadium Negeri, Petra Jaya.
Ketua Jurulatih Serian FA, Rockeffller Sullau berkata, ia satu perlawanan yang cukup penting buat pasukan kendaliannya seandai mahu mengintai peluang ke pusingan seterusnya.
“Terlalu awal untuk mengatakan ini adalah perlawanan hidup mati tetapi kami tidak ada pilihan selain wajib menewaskan Sarikei FA, petang esok. Saya bertanggungjawab untuk membawa kemenangan buat pasukan ini dan semua pemain harus melaksanakannya.
“Selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang PEC Bintulu dan bangkit menemui sentuhan kemenangan 2-1 menentang Miri FA baru-baru ini, mata itu belum cukup untuk pasukan kita dengan selesa mahu melangkah ke pusingan kalah mati selepas ini,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Rockeffller berkata beliau yakin anak buahnya dalam aksi penting esok tidak akan menyerah kalah dan akan berjuang berhabis-habisan pada perlawanan itu sehingga ke wisel penamat.
“Kita akan beri tekanan yang hebat kepada Sarikei FA. Saya akan menurunkan kesebelasan pemain terbaik ketika kita menang menentang Miri FA tempoh hari,” katanya.
Rockeffller mahu pemainnya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang terhidang dalam misi untuk menang pada perlawanan itu nanti.
Oleh ADI SAFARMAN