PUTRAJAYA, 6 November: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) mengesahkan telah menerima maklumat awal mengenai laporan penampakan cahaya terang di beberapa kawasan di ruang udara Malaysia pada malam Rabu (4 November).
Dalam kenyataan hari ini, MOSTI memaklumkan penampakan cahaya terang itu turut dikaitkan dengan kemasukan semula (re-entry) dengan Satelit Balai Cerap Neil Gehrels Swift milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
“Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai penemuan sebarang serpihan objek disyaki objek angkasa seperti roket di darat atau perairan di wilayah Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MOSTI memaklumkan pemantauan sedang dijalankan secara aktif oleh BPAngkasa dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan.
Orang awam dinasihatkan agar tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau talian kecemasan 999 atau terus kepada BPAngkasa melalui talian 03-8885 8685 atau e-mel kepada bpadg@mosti.gov.my.
“MOSTI juga menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan mendapatkan maklumat yang sahih daripada saluran rasmi,” menurut kenyataan itu. – Bernama





