Eksklusif: Imbasan – Tiga petugas pilihan raya terbunuh dalam tragedi Sarikei 1970

Facebook
WhatsApp
TRAGEDI PRN...Poster ilustrasi tragedi PRN Sarawak di Sarikei pada 1970. Foto AI

SEJARAH pilihan raya dulu-dulu memang penuh dengan peristiwa mencemaskan berikutan ancaman saki baki komunis.

Bayangkan, tiga petugas pilihan raya termasuk seorang Ketua Tempat Mengundi terbunuh, manakala empat lagi cedera dalam serangan pengganas komunis di Sarikei pada 29 Jun 1970, ketika mereka dalam perjalanan pulang menaiki bot selepas selesai menjalankan tugas mengawasi perjalanan proses pengundian.

Tragedi yang berlaku 56 tahun lalu itu direkodkan dalam Penyata Pilihan Raya Umum 1969 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah pelaksanaan demokrasi Sarawak ketika negeri ini berdepan ancaman keselamatan.

Menurut laporan berkenaan, kejadian berlaku di Sarikei yang ketika itu terletak dalam Bahagian Ketiga Sarawak, selepas petugas terbabit menyempurnakan proses pengundian di sebuah pusat mengundi.

Peristiwa tersebut dicatatkan dalam perenggan 74, halaman 48 laporan SPR di bawah bahagian ‘Conclusion and Acknowledgements’ atau Kesimpulan dan Penghargaan.

Laporan sama turut merekodkan bahawa kira-kira seminggu sebelum tragedi berkenaan, sebutir periuk api diletupkan di luar sebuah pusat mengundi dalam bahagian yang sama.

Kedua-dua kejadian itu berlaku dalam tempoh dua anggota SPR sedang melakukan lawatan ke kawasan pilihan raya terbabit bagi memerhatikan perjalanan pengundian.

Tragedi Sarikei berlaku ketika Sarawak sedang melaksanakan semula proses pilihan raya langsung yang tertangguh susulan pengisytiharan darurat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di Semenanjung Malaysia.

Pilihan raya yang melibatkan 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu pada asalnya bermula pada Mei 1969 sebelum proses pengundian ditangguhkan berikutan perkembangan keselamatan negara.

Pengundian kemudiannya disambung pada 6 Jun 1970 dan diselesaikan pada 4 Julai tahun sama, ketika Sarawak turut berdepan ancaman kegiatan komunis.

Dalam keadaan tersebut, petugas pilihan raya bukan sahaja bertanggungjawab memastikan proses pengundian berjalan lancar, malah perlu melaksanakan tugas dalam persekitaran yang mempunyai risiko keselamatan.

Keadaan geografi Sarawak yang luas, dengan penempatan dipisahkan oleh sungai serta jaringan pengangkutan darat yang masih terhad pada ketika itu, turut memberikan cabaran kepada urusan pilihan raya.

Penggunaan bot oleh petugas yang terlibat dalam tragedi berkenaan memperlihatkan kepentingan pengangkutan sungai dalam pelaksanaan tugas di kawasan tertentu pada zaman tersebut.

Walaupun berdepan ancaman keselamatan, SPR dalam laporan rasminya menyatakan bahawa kejadian keganasan tidak menghalang proses pilihan raya daripada diteruskan dan diselesaikan mengikut jadual.

Suruhanjaya itu turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak yang tetap menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun terdapat ancaman untuk mengganggu perjalanan pilihan raya.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi di Sarawak merupakan antara yang tertinggi di seluruh negara ketika itu, sekali gus mencerminkan kesedaran sivik masyarakat dalam melaksanakan hak demokrasi mereka.

Dalam laporan tersebut, SPR turut menghargai kerjasama pelbagai jabatan kerajaan, organisasi swasta dan individu yang membantu menjayakan urusan pilihan raya, termasuk penyediaan pengangkutan, tenaga kerja, peralatan serta kemudahan.

Bagaimanapun, perenggan laporan SPR yang dirujuk tidak memperincikan identiti tiga petugas yang terbunuh, nama pusat mengundi atau lokasi tepat serangan di Sarikei.

Ketiadaan butiran tersebut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penelitian sejarah lanjut melalui rekod rasmi dan bahan arkib yang berkaitan.

Selepas lebih lima dekad, peristiwa 29 Jun 1970 kekal sebagai catatan penting yang memperlihatkan risiko pernah dihadapi petugas pilihan raya ketika melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, tragedi itu menjadi peringatan bahawa perjalanan demokrasi negeri ini bukan sahaja dibentuk oleh keputusan pilihan raya dan perubahan kepimpinan, tetapi juga pengorbanan petugas yang memastikan proses pengundian dapat dilaksanakan.

Pengorbanan tiga petugas pilihan raya yang terkorban di Sarikei pada 1970 wajar terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah demokrasi Sarawak.

Oleh Earl Anek

Api amarah yang membakar pahala

MARAH merupakan salah satu sifat semula jadi yang terdapat dalam diri setiap manusia. Perasaan ini boleh hadir apabila seseorang berhadapan

Saujana: Antara nostalgia dan pembangunan

SETIAP bandar mempunyai bangunan yang bukan sekadar berdiri sebagai binaan konkrit dan besi, tetapi menyimpan seribu satu cerita tentang kehidupan