KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama memiliki dana kekayaan berdaulat apabila Rang Undang-Undang (RUU) mengenainya diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
RUU Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat dengan peruntukan awal RM8 bilion itu dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, pada sidang DUN, hari ini.
Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan sebelum RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan Sarawak berkata, dana berkenaan diwujudkan bagi memaksimumkan pulangan daripada rizab modal lebihan negeri melalui pelaburan.
“Dana kekayaan berdaulat ini akan diletakkan di bawah pengurusan dan penjagaan sebuah badan korporat yang ditubuhkan di bawah RUU ini yang dikenali sebagai Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat.
“Pembentangan RUU ini adalah sebagai memenuhi janji yang menjadi sebahagian daripada manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12),” katanya.
Abang Johari berkata, penubuhan dana kekayaan negara ini akan memenuhi tujuan menukar aset tidak boleh diperbaharui kepada aset kewangan, melabur untuk masa depan melalui simpanan paksa, dan menjamin pertumbuhan berterusan rizab kewangan melalui pelaburan yang pelbagai.
“Negeri telah menikmati hasil berasaskan komoditi, khususnya daripada minyak dan gas, selama ini.
“Bagaimanapun, ia boleh berkurangan, dan jika tidak diurus dan dilaburkan dengan bijak, ia akan menafikan generasi akan datang daripada faedah ekonomi yang sama,”katanya.