PETRA JAYA, 19 Oktober: Sibu bakal menjadi bandar seterusnya di Sarawak yang menerima perkhidmatan bas elektrik percuma apabila kerajaan negeri merancang memperkenalkan 13 bas elektrik pintar baharu pada suku pertama 2027, selepas perkhidmatan bas pintar di Miri merekodkan lebih 1.82 juta penumpang setakat September tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata perkhidmatan bas baharu itu akan meliputi kawasan bandar Sibu termasuk Sibujaya, Kemuyang, Ulu Sungai Merah, Rantau Panjang, Lanang Atas dan Lanang Bawah.
“Pengenalan perkhidmatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak memodenkan sistem pengangkutan awam, selain menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih mudah dan mampu diakses penduduk,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sementara itu, pelaksanaan perkhidmatan bas pintar di Miri menunjukkan perkembangan positif menerusi penggunaan 14 bas yang beroperasi di lapan laluan.
Menurut Lee, perkhidmatan itu merekodkan lebih 1.82 juta penumpang setakat September 2026, dengan purata bulanan sebanyak 83,075 penumpang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
“Perkhidmatan bas pintar Miri turut disokong aplikasi Aplikasi Pengangkutan Pintar Sarawak (SSTA), yang membolehkan pengguna menjejaki pergerakan bas secara masa nyata.
“Data perjalanan yang dikumpulkan melalui aplikasi itu juga membantu kementerian memahami corak perjalanan penumpang serta menambah baik laluan dan jadual perkhidmatan.
“Pengalaman pelaksanaan di Miri dan peluasan perkhidmatan ke Sibu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh pengangkutan awam, termasuk melalui penggunaan kenderaan lebih mesra alam,” katanya.
Bagi Sibu, pengenalan 13 bas elektrik pintar itu dijangka memperluas pilihan pengangkutan awam penduduk, khususnya bagi perjalanan harian antara kawasan perumahan dengan pusat bandar.
Oleh Shahrul Qaizat




