KUCHING: Kebanyakan rakyat di negara ini terutama di Semenanjung kurang terdedah kepada perkembangan pembangunan di negeri ini, malah kurangnya pengetahuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta penubuhan Malaysia itu sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana mereka terutama dalam kalangan anak muda tidak didedahkan mengenai isu itu.
“Dulu mereka (anak Sarawak) yang ingin melanjutkan pelajaran, terpaksa ke Semenanjung kerana hanya di Semenanjung mempunyai universiti.
“Sebaliknya, mereka dari Semenanjung tidak terdedah dan tidak kenal dengan Sarawak kerana pada masa itu belum ada universiti di Sarawak.
“Kemudian, universiti kita tidak menawarkan (pengajian berkaitan) MA63 dan tidak diajar di (fakulti) sekolah undang-undang. Oleh itu, sejarah pembentukan Malaysia dan undang-undang berkaitan perlu dinegarakan,” katanya pada program ‘Untukmu Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di TV1 malam ini.
Abang Johari berkata demikian ketika ditanya pengacara program itu mengapa masih ramai orang Semenanjung Malaysia tidak nampak kegemilangan Sarawak dari segi kemajuan dalam pembangunan.
Sementara itu, Abang Johari berkata beliau juga berhasrat untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak berkelayakan untuk mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.
“Kita akan menubuhkan dana kekayaan berdaulat sendiri untuk rakyat dan ini akan membawa pulangan positif kepada ekonomi negeri pada masa depan
“Rang Undang-Undang (RUU) bagi mewujudkan satu ordinan dana kekayaan berdaulat di Sarawak akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri selepas PRU15 ini iaitu minggu depan,” katanya.