PETRA JAYA, 4 November: Keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menjadi antara faktor utama yang menentukan kejayaan Sarawak merealisasikan aspirasi pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap keutamaan pembangunan di bawah RMK13 perlu dilaksanakan secara berkesan dengan sasaran yang jelas, tanggungjawab khusus serta pemantauan berterusan.
Menurut beliau, kejayaan pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan atau bilangan projek yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan hasil yang dicapai serta manfaat yang dinikmati rakyat.
“Kejayaan kita bukan sekadar diukur berdasarkan peruntukan yang dibelanjakan atau projek yang dilaksanakan, tetapi berdasarkan hasil yang dicapai dan manfaat yang dirasai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam dan Anugerah SCSICA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu memahami peranan masing-masing serta memastikan usaha pembangunan yang dilaksanakan saling melengkapi untuk mencapai matlamat ditetapkan.
Katanya, kerjasama erat antara Perkhidmatan Awam Sarawak dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan juga penting untuk menyelaraskan keutamaan pembangunan, menangani kekangan pelaksanaan dan memastikan sumber sedia ada dimanfaatkan secara optimum.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang kelemahan atau halangan dalam pelaksanaan projek dan program pembangunan perlu dikenal pasti serta ditangani segera bagi memastikan kemajuan yang dirancang tidak terjejas.
“Kita mesti bertindak segera dan mempercepatkan pelaksanaan, kerana masa yang ada semakin singkat untuk merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak menjelang tahun 2030,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, RMK13 yang meliputi tempoh 2026 hingga 2030 merupakan fasa penting dalam pelaksanaan peringkat kedua dan terakhir PCDS 2030 Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga perkhidmatan awam supaya terus memperkukuh komitmen serta memastikan setiap perancangan pembangunan diterjemahkan kepada tindakan yang memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
Oleh Norman B




