SONG: Sarawak perlu menghantar lebih ramai wakil daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen bagi melindungi kepentingan dan hak Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, justeru calon GPS harus menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Katanya, jika GPS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen, suara ‘anak Sarawak’ akan menjadi lebih kuat di Dewan Rakyat.
Malah kata Timbalan Pengerusi GPS itu, penyandang kerusi Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mesti diberi peluang untuk terus kekal di Parlimen.
“Beliau (Alexander) adalah seorang pemimpin luar biasa yang sangat lantang bersuara untuk kami (GPS). Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan saya sangat mengenali beliau kerana hubungan kami yang lama.
“Kami dalam GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) penuh yakin terhadap kepemimpinan beliau (Alexander) serta pengerusi Agensi Pembangunan Rejang Atas (URDA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jarup, Nanga Sempadi, Katibas, hari ini.
Alexander Nanta yang juga Setiausaha Agung GPS, dicabar calon PKR, Khusyairy Pangkas Abdullah dan calon Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDS), Robert Saweng dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Kapit.
Uggah juga berkata, penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bukti jelas keprihatinan kerajaan GPS yang diterajui Premier Sarawak terhadap pembangunan di kawasan luar bandar.
Pada majlis itu, Uggah turut menyampaikan geran daripada Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR) kepada pelbagai pertubuhan agama di bahagian itu.