SIMANGGANG: Jentera Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga sedia mengempur dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Ia bagi memastikan kemenangan calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli
Ketua Cawangan Parti PBB Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, jentera Wanita dan Pemuda parti itu telah bekerja keras sejak dahulu ‘dalam keadaan susah dan senang’, bukan thanya ketika musim pilihan raya.
“Jentera Parti PBB Lingga terutama sayap Wanita dan Pemuda kini siap sedia untuk membantu menyumbang kepada kejayaan GPS Parlimen Batang Lupar,” katanya pada majlis perjumpaan bersama ahli jawatankuasa Cawangan PBB N.28 Lingga di sini.
Mohamad Shafizan Kepli dicabar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wel @ Maxwell Rojis dan Hamdan Sani dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Dayang Noorazah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga berkata calon GPS bagi Parlimen Batang Lupar mesti menang dalam PRU-15 dan mengekalkan kerusi itu sebagai kubu kuat parti.
“Dengan kekuatan tiga DUN iaitu Lingga, Beting Maro dan Sebuyau di bawah GPS, saya mahu sokongan penuh dan memberi kemenangan besar kepada calon muda GPS, Mohamad Shafizan Kepli,” katanya.
Shafizan yang hadir sama berkata, jentera kempen GPS di Parlimen Batang Lupar telah mula mengatur gerak sejak hari pertama kempen bermula.
Katanya, pelbagai program telah diatur khusus untuk kawasan Batang Lupar bagi meraih undi hingga hari penentu, 19 November nanti.
Beliau turut mengharapkan sokongan padu daripada pengundi di Batang Lupar ini berikutan kali ini merupakan langkah sulungnya menapak di arena politik.
“Sokongan padu 100 peratus terutamanya pengundi muda amat saya harapkan supaya kita dapat bekerjasama untuk membangunkan kawasan Batang Lupar,” katanya.