ELLIE EDWARD
BINTULU: Empat tong dram berisi minyak diesel tanpa dokumen sah RM1,160 yang dibawa oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bintulu.
Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, rampasan itu dilakukan di Kilometer 10, Jalan Tun Hussein Onn di sini pada Sabtu lepas.
“Dalam OP Covid-19 yang dijalankan oleh Unit Risikan Marin PPM, menahan pemandu berusia 40 tahun ketika melalui jalan tersebut sekitar 12.00 tengah hari”.
“Pemeriksaan yang dijalankan menjumpai empat tong dram berisi minyak diesel sebanyak 800 liter yang dianggarkan bernilai RM1,160 yang diletakkan pada bahagian belakang kenderaan itu,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam satu dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menyimpan barang kawalan tanpa permit.
“Kenderaan digunakan suspek ujarnya turut disita di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan berjadual tanpa kebenaran”.
“Laporan polis sudah dibuat berhubung tangkapan ini bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan terhadap suspek serta barangan yang dirampas,” jelasnya.
Tegasnya, semua bahan rampasan serta kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai RM90,000 turut disita sebagai bahan kes dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bintulu untuk siasatan lanjut.