KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian membidas pihak yang cuba menyebarkan khabar angin untuk menakutkan pengundi menjelang hari mengundi 19 November nanti.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiada kena mengena dengan UMNO yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, khabar angin itu antara lain mendakwa kononnya ‘undi untuk GPS, Zahid senang, Najib bebas’.
“Zahid ada kes rasuah di mahkamah dan terpulang kepada mahkamah untuk menentukan nasibnya. Begitu juga Najib yang sedang dipenjarakan, dan terpulang kepada Agong (Yang di-Pertuan Agong) sama ada untuk mengampunkannya atau tidak.
“Khabar angin ini adalah karut, taktik untuk menakutkan pengundi. DAP dan PKR mereka adalah parti Malaya, bukan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas pelancaran manifesto calon Parlimen Bandar Kuching, Eric Tay di sini hari ini.
Dr Sim juga berkata, semua gabungan parti politik di Semenanjung telah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Sarawak apabila berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan nanti.
Bagaimanapun katanya, inilah masanya GPS akan meneliti siapa yang akan menjadi kerajaan.
“Selepas 59 tahun, kami boleh membuat perubahan. Terdapat begitu banyak rasa tidak puas hari rakyat Sarawak yang pernah ditipu sebelum ini.
“Kini senario politik Tanah Melayu begitu huru-hara sehingga tiada satu pihak pun boleh membentuk kerajaan. Mereka akan mencari kami (GPS),” katanya.
Oleh CONNIE CHIENG