BEKENU: Hanya ada bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terpacak di sekitar pekan Bekenu, Sepupok dan Batu Niah, setakat semalam.
Tinjauan Utusan Sarawak di sekitar tiga kawasan tersebut mendapati hanya terdapat bendera GPS yang banyak terpacak di tepi jalan raya.
Selain itu, belum ada kelihatan kenderaan parti-parti yang bertanding di Parlimen Sibuti melakukan kerja berkempen dan cuma ada sekitar tiga kenderaan yang meronda kawasan.
Ketiga-tiga kawasan itu masih lagi dalam keadaan sunyi disebabkan kerusi Parlimen Sibuti tidak dikategorikan kawasan kerusi panas.
Penyandang kerusi Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni daripada GPS terbabit dalam saingan tiga penjuru, yang dicabar oleh Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Bobby William dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulhaidah Suboh.