BINTULU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato’ Seri Tiong King Sing diyakini mampu mempertahankan kerusi Parlimen Bintulu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, keyakinan tersebut adalah berdasarkan kerja keras Tiong selama ini sebagai wakil rakyat di Bintulu.
“Jadi, saya memohon semua rakyat membantu kita dan membolehkan GPS untuk meneruskan usaha agar hak-hak kita terpelihara dan seterusnya berjuang mendapatkan kerajaan yang stabil demi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas sesi penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu, di sini kelmarin.
Menurut Rundi, kini tiba masanya untuk membuktikan bahawa kestabilan politik adalah penting.
“Inilah masanya untuk kita menunjukkan kepada seluruh dunia kestabilan politik di negara kita terutamanya dari segi tatatertib semasa pilihan raya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau percaya usaha-usaha yang dibuat selama ini dapat mengubah landskap atau mentranformasikan Bintulu daripada pekan nelayan kepada bandar industri terulung di Sarawak.
Justeru itu, Rundi menggesa rakyat Bintulu untuk turun mengundi khususnya pengundi baharu yang berusia 18 hingga 28 tahun.
“Sesiapa yang belum mengundi juga akan automatik didaftarkan sebagai pengundi.
“Undilah dengan bijak. Undilah dengan cara yang kita anggap boleh menentukan kestabilan, bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Malaysia,” ujarnya.