NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit mengingatkan orang ramai terutama peniaga supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, satu pemeriksaan dan pemantauan telah dilakukan di Pasar Sentral Sibu, semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat segelintir peniaga dan pelanggan yang tidak mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
“Masih ada peniaga dan pelanggan yang tidak mengamalkan penjarakan sosial. Selain itu, tiada garisan jarak di antara penjual dan pelanggan yang disediakan.
“Malah, terdapat ibu bapa yang membawa kanak-kanak berusia bawah 12 tahun untuk berjalan sama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Stanley, pemantauan semalam dijalankan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Sibu, DSP Ariffin Bahar bersama sepasukan anggota lain.
“Turut serta dalam pemantauan semalam ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Bujang Abdul Majid serta beberapa ahli MPS lain,” ujarnya.