KUALA LUMPUR: Pelajar Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam diberi pelepasan pada 17 hingga 21 November ini untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketetapan itu selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari pengundian PRU-15 pada 19 November.
“Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing,” menurut kenyataan itu.
KPM turut memaklumkan ketetapan itu juga sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1 Disember 2021 dan berkuat kuasa mulai 15 Disember tahun sama.
Semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain, menurut kenyataan itu. – Bernama