MCMC perkukuh standard teknikal bagi perkhidmatan penting yang lebih selamat dan stabil

Facebook
WhatsApp
SEMINAR Memperkasa Utiliti Pintar dan Berdaya Tahan melalui Piawaian di MCMC Centre of Excellence, Cyberjaya, hari ini bersempena dengan Hari Standard Sedunia 2026.

CYBERJAYA, 14 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh pembangunan standard teknikal bagi menyokong perkhidmatan penting seperti komunikasi, bekalan elektrik dan air supaya dapat beroperasi dengan lebih selamat, stabil dan berkesan.

Usaha ini penting memandangkan perkhidmatan tersebut semakin bergantung kepada teknologi digital dan sistem yang saling berhubung.

Gangguan dalam satu sistem boleh menjejaskan perkhidmatan lain, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat.

Sehubungan itu, MCMC telah menganjurkan seminar Memperkasa Utiliti Pintar dan Berdaya Tahan melalui Piawaian di MCMC Centre of Excellence, Cyberjaya, hari ini bersempena dengan Hari Standard Sedunia 2026.

Turut diketengahkan ialah Rangka Kerja Tadbir Urus Standard Teknik MCMC (Framework for Technical Standards Governance) bagi menambah baik perancangan, penyelarasan dan pembangunan standard teknikal dalam sektor komunikasi dan multimedia, selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.

Sesi tersebut menghimpunkan wakil agensi kawal selia, badan pembangunan standard, industri, pihak berkuasa tempatan dan ahli akademik bagi membincangkan penyelarasan standard teknikal antara sektor komunikasi, tenaga, air dan pembangunan infrastruktur.

MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak industri bagi memastikan teknologi dan sistem yang digunakan dapat berfungsi dengan lebih baik bersama-sama, sekali gus menyokong perkhidmatan penting yang lebih selamat dan stabil untuk manfaat rakyat.