Gaji permulaan RM2,500: SPA tunggu pekeliling pelaksanaan

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus menyampaikan dokumen rasmi penyerahan aset kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru Muhammad Azmi Ismail pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI SPA di SMK Simpang Beluru hari ini. Foto Bernama

KUALA KANGSAR, 14 Oktober: Pelaksanaan gaji permulaan RM2,500 bagi graduan baharu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 untuk penjawat awam masih menunggu pekeliling rasmi yang akan memperincikan kaedah pelaksanaannya.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, pekeliling itu akan memperincikan perkara berkaitan, termasuk tempoh pelaksanaan dan komponen pembayaran.

“Kita menyambut baik apa yang telah diumumkan melalui belanjawan, tetapi bagaimana ia dilaksanakan harus menunggu kaedah yang ditetapkan menerusi pekeliling.

“Perkara ini memerlukan tatacara yang lebih terperinci, termasuk bagaimana ia hendak dilaksanakan dan tempoh pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI SPA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini, hari ini.

Beliau berkata, persiapan bagi melaksanakan inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan lazimnya dimulakan pada tahun pengumuman dibuat bagi membolehkan pelaksanaannya bermula pada tahun berikutnya.

“Insya-Allah, kita doakan perkara ini dapat dilaksanakan pada awal tahun depan,” katanya.

Mengulas sama ada kadar RM2,500 itu merangkumi elaun lain, Ahmad Jailani berkata, perkara berkenaan akan diteliti dan diperjelas menerusi pekeliling rasmi.

Beliau berkata, penelitian terperinci diperlukan memandangkan pelaksanaan inisiatif itu melibatkan peruntukan kewangan yang besar serta jumlah penerima manfaat yang ramai.

“Perkara ini mesti dibuat dengan cara yang lebih teliti dan teratur. Saya yakin, pihak yang bertanggungjawab telah menjalankan tugas mereka dan perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya. – Bernama