BUNDESLIGA JERMAN
SENSASI Norway, Erling Braut Haaland semalam mencuri perhatian ketika Bundesliga Jerman menjadi liga bola sepak utama Eropah pertama kembali beraksi sejak ‘lockdown’ Covid-19, dengan pasukan bermain dalam stadium kosong.
Penyerang berusia 19 tahun itu meraih gol pertama dalam divisyen satu Jerman selama lebih dari dua bulan untuk membuka langkah buat Borussia Dortmund mencatat kemenangan 4-0 ke atas pesaing tempatan Schalke.
“Tidak ada suara. Anda melakukan percubaan ke arah gol, membuat hantaran terbaik, menjaringkan gol, dan tidak ada apa-apa yang terjadi,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre.
“Itu sangat, sangat pelik. Kami sangat merindui peminat kami.
“Sukar untuk menilai berapa baik permainan ini, tetapi para pemain sangat fokus.”
Pemain sayap, Raphael Guerreiro menambah dua gol untuk Dortmund dalam setiap babak di antara jaringan Thorgan Hazard.
Pasukan tempat kedua Dortmund kini berada satu mata di belakang pendahulu Bayern Munich, yang mengejar gelaran kelapan berturut-turut mereka dan menentang Union Berlin pada hari Isnin.
Haaland menolak hantaran rendah Hazard ke sudut bawah pada 29 minit untuk menjaringkan gol ke-10 beliau hanya dalam sembilan perlawanan Bundesliga.
Itu merupakan gol ke-41 beliau musim ini dalam semua pertandingan dan yang ke-13 untuk Dortmund hanya dalam 12 perlawanan sejak berpindah dari Red Bull Salzburg, Januari lepas.
Haaland meraikan jaringan beliau dengan menari seorang diri – tidak melakukan kontek dengan rakan sepasukan, yang bertepuk tangan dengannya – untuk mematuhi garis panduan kebersihan yang ketat yang membolehkan liga disambung semula.
Semua perlawanan dimainkan dalam stadium kosong, dengan tidak lebih dari 300 orang dibenarkan masuk ke dalam stadium.
Biasanya, Signal Iduna Park, Dortmund akan dipenuhi dengan lebih daripada 80,000 peminat untuk derby Ruhr, salah satu perlawanan terbesar dalam bola sepak Jerman.
Selepas gol pembukaan Haaland, kesilapan oleh penjaga gawang Schalke, Markus Schubert menyebabkan Guerreiro menjadikannya 2-0 sebelum separuh masa.
Haaland kemudian memainkan peranan dalam menjaringkan gol ketiga sebelum Julian Brandt membuka ruang untuk Hazard menemui sasaran pada minit ke-48
Guerreiro meraih gol kedua beliau dengan penuh bergaya selepas gerakkan satu-dua dengan Haaland pada minit ke-63. – AFP