KENANGAN… Mohamad Duri bergambar bersama pemain dan pengurusan pasukan SK Perpat.
SKUAD Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang kejuaraan Pertandingan Bola Sepak Malaysia Little League (MLL) Peringkat Negeri Sarawak bawah 12 tahun di UPM Bintulu, baru-baru ini.
Dalam aksi perlawanan akhir itu, SK Perpat yang dipimpin ketua jurulatih, Tadzri Malim itu mudah menewaskan pasukan Batu Keling, Belaga dengan jaringan 4-1.
Dengan kejuaraan itu, SK Perpat berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, piala iringan dan pingat, manakala SK Batu Keling Belaga pula membawa hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, piala iringan dan pingat untuk naib juara.
Sementara itu, SK Datuk Temenggung Muip, Miri dan SK Geobilt, Kuching berada ditempat ketiga bersama dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala dan pingat.
Kesemua hadiah kemenangan telah disampaikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau.
Kejayaan SK Perpat itu akan sekaligus membawa cabaran ke Kejohanan MLL Peringkat Kebangsaan (Zon D) yang akan berlangasung di Kota Kinabalu, Sabah November depan.
Pengurus pasukan SK Perpat, Norila Gani merasa gembira dengan persembahan anak-anak buah Tadzri Malim dan mendedikasikan kejuaraan tersebut buat warga Saratok.
“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada seluruh peminat bola sepak dan warga Saratok khasnya yang amat penuh bermakna dan gemilang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri ketika dihubungi ternyata berbangga dengan kejayaan itu dan menyifatkan pasukan dari sekolah luar bandar mampu bersaing dengan pasukan dari kawasan bandar yang memiliki fasiliti sukan yang lengkap.
“Walaupun sekolah kawasan luar bandar seperti sedia maklum mengalami kekurangan dari segi fasiliti sukan, ia tidak bermakna kita tidak boleh juara, SK Perpat telah membuktikan pasukan dari kawasan luar bandar mampu juara,” tegasnya yang turut berbangga SK Perpat telah mengharumkan nama Saratok.
Oleh ADI SAFARMAN