NATASHA Mohd Shahruddin dan Josiah Hong Xiang Win memenangi pingat emas dalam kategori ‘compound mix team’.
DUA pingat emas dan empat gangsa dari kem muaythai memberikan kegembiraan kepada Kontinjen Sarawak pada hari kelima Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 di Kuala Lumpur kelmarin.
Pasangan adik beradik Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dan Elias Ghazali Zulfikar berjaya merangkul pingat emas menerusi kategori lelaki 60kg dan lelaki 63.5kg yang berlangsung di South City Plaza, Seri Kembangan.
Lebih manis lagi kemenangan Muhammad Johan Ghazali dalam kategori lelaki 60kg diperolehi secara TKO ke atas lawannya Wan Muhammad Sabri Wan Zuki dari Melaka, manakala pingat gangsa dimiliki bersama atlet Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, bagi pasangan kembarnya, Elias Ghazali menang dengan kiraan mata 30 – 27 ke atas Mohd Fazzatkie Mohd Zaki dari Terengganu, manakala pingat gangsa dimenangi bersama atlet dari Perak dan Melaka.
Selain pingat emas, skuad Muaythai Sarawak turut menang empat pingat gangsa.
Pingat emas turut disumbang atlet renang Sarawak apabila Kelly Teo Yao mencatat 9:26.05 mengatasi Chu Xin Ying dari Sabah dan Hooy Jia Yee dari Pulau Pinang.
Sukan renang turut memberi dua pingat perak menerusi kategori 50 meter kuak dada dan 4X100 meter gaya bebas berganti-ganti yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Acara terjun turut memberikan dua pingat perak kepada Sarawak apabila penerjun Bertrand Rhodict Lises menduduki tempat kedua dalam acara 3 meter papan anjal lelaki dan 1 meter papan anjal lelaki.
Di Stadium Universiti Sains Islam (USIM), Nilai, skuad memanah Sarawak yang dibarisi Natasha Mohd Shahruddin dan Josiah Hong Xiang Win turut memenangi pingat emas dalam kategori ‘compound mix team’ yang merupakan emas kedua dari sukan memanah.
Tenpin Boling Sarawak terus mencetak pingat emas apabila pasukan wanita yang terdiri daripada Nur Hazirah Ramli, Gillian Lim Siew Giok, Asya Dania Azree, Lavinia Kho Jia Jie dan Nur Aina Kamalia Abdul Ayub muncul juara.
Sementara, pasukan lelaki Sarawak pula menduduki tempat kedua sekali gus membawa pulang pingat perak.
Manakala, sukan menembak merangkul pingat perak dalam acara 50 meter Rifle 3 Positions Women’s Team.
Oleh NUR AIN OTSMAN