GELARAN Raja Sungai sah menjadi milik perahu Cahaya Helang Tasik setelah memenangi acara Sakai 30 Lelaki Terbuka Pertandingan Regata Pesta Benak Sri Aman 2022 petang semalam.
Perahu milik Fadli Othman itu membuktikan kehebatan mereka dalam acara berkenaan setelah berjaya menumpaskan saingan daripada 11 perahu yang lain bagi acara kemuncak Regatta tersebut.
Kemenangan ini membolehkan Cahaya Helang Tasik membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan piala kejuaraan.
Manakala itu perahu Bistari milik Datu Abdullah Julaihi muncul tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 dengan pemenang kedudukan tempat ketiga iaitu Mahkota Dewa Gedong milik Gedong Komuniti membawa pulang hadiah wang RM5,000.
Dua lagi pasukan iaitu CPR 12 serta Bujang Sigat pula muncul pemenang di tempat keempat dan kelima lalu lantas membawa pulang hadiah bernilai RM3,000 dan RM2,000 bagi acara berkenaan.
Enam lagi perahu yang turut bersaingan dalam saingan akhir Raja Sungai itu adalah Bujang Sigat (pasukan kedua), CPR 11, Jaminas Jaya, Puteri Lemanak, Khazanah I dan Mahkota Dewa Gedong (pasukan kedua).
Bagi acara Melawan Arus Sakai 30 Lelaki pula menyaksikan Barracuda dengan tuan perahunya Awang Nasfarini Awang Sarbini muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,400 serta piala iringan.
Sementara itu, perahu Bujang Sigat milik Kamis Hanis muncul juara acara Sakai 20 Lelaki (Terbuka) dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM1,700, Piala Pusingan Yang Berhormat Dato Sri Abdul Karim Hamzah dan piala iringan.
Piala Pusingan Yang Berhormat Datuk Snowdan Lawan beserta hadiah wang berjumlah RM900 pula menjadi milik Sri Berjaya dengan tuan perahunya Melainie Bolhassan setelah berjaya memenangi acara Sakai 10 Lelaki (Terbuka).
Acara Sakai 20 Campuran (15 lelaki dan lima perempuan) Terbuka pula menyaksikan Puteri Lemanak dengan tuan perahunya Norfazila Jamalludin muncul juara dan membawa pulang Piala Pusingan Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta hadiah wang RM1,700.
Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang Regatta berkenaan telah pun disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Turut hadir isteri beliau, Datin Simba Nalang, Residen Bahagian Sri Aman, Sirai Daha, Timbalan Residen Sri Aman, Penguasa Jabatan Tanah dan Ukur Sri Aman, Michaelson Nyirin dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Sri Aman, Minjo Simanding.
Oleh VALENTINE NGUMBANG