BENDERA Sarawak dan Jalur Gemilang mula menghiasi di setiap pusat beli-belah disekitar bandar Bintulu.
BINTULU: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 bakal diadakan di Lasar Kenyalang, Lapangan Terbang Lama Bintulu pada 16 September ini.
Rata-rata penduduk setempat termasuk ketua masyarakat di sini menzahirkan rasa teruja akan sambutan itu lebih-lebih lagi selepas dua tahun tidak diadakan susulan penularan pandemik Covid-19.
Penghulu Chabi Nangup berkata, ia merupakan satu penghormatan kepada masyarakat Bintulu kerana telah diberikan amanah untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia yang tinggal di Sarawak.
“Sebagai ketua mesyarakat bagi kawasan Samalaju, saya sangat berbangga atas penghormatan yg diberikan oleh pihak kerajaan kepada penduduk di sini untuk menjadi tuan rumah pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, semalam.
Mengimbau kembali perubahan yang dialami Bahagian Bintulu, beliau memberitahu, pembangunan amat jelas kelihatan apabila semakin banyak projek dilaksanakan oleh kerajaan di sekitar bahagian itu.
“Dalam beberapa tahun lalu, banyak pembangunan telah diadakan oleh pihak kerajaan di kawasan saya seiring dengan perancangan daripada pihak kerajaan.
“Jadi apa yang kita harapkan adalah supaya perancangan tersebut boleh dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
“Untuk memastikan ia berjaya, perpaduan rakyat harus dipergiat untuk menjayakan apa-apa perancangan dan pembangunan yang akan datang pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kapitan Ling Ah Ling turut berasa bangga kerana kepercayaan yang diberikan bermakna Bintulu mempunyai potensi besar.
“Kita sebagai penduduk Bintulu pastinya berasa gembira dan bangga kerana Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak ini diadakan di sini.
“Ini bermakna Bintulu juga menjadi salah satu bahagian yang mempunyai kemajuan tersendiri dan berpotensi untuk dikembangkan,” katanya.
Tambah beliau, sempena Hari Malaysia ini, rakyat akan lebih menghayati perpaduan dan keharmonian demo kesejahteraan hidup bersama-sama.
“Seperti yang kita dapat lihat, apabila ada berlaku sedikit pergolakan dari segi politik, pembangunan kita pasti akan tergendala.
“Jadi saya harap rakyat semua dapat bersama-sama mengekalkan keamanan tanpa sebarang pertelingkahan khususnya dalam politik agar negara khususnya negeri kita dapat bergerak ke arah pembangunan,” ujarnya.