DEMONSTRASI seni mempertahankan diri taekwondo semasa majlis penutupan Kejohanan Taekwondo
Antarabangsa Piala Sarawak Borneo 2022 di Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan dasar kebangsaan membabitkan sukan taekwando dikaji semula berikutan pengguguran sukan berkenaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini.
Katanya, ia penting bagi mengekalkan konsistensi dalam dasar sukan negara sekali gus menjadikan sukan taekwondo sebagai acara sukan sentiasa disenaraikan dalam setiap SUKMA.
“Anda tidak boleh menggugurkan taekwondo sebagai salah satu acara sukan kerana jika tidak, ia juga akan berlaku kepada acara sukan yang lain.
“Sama seperti bola sepak, dart, silat, ia mesti konsisten dan sentiasa tersenarai dalam SUKMA,” katanya pada majlis penutup Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Piala Borneo Sarawak (WTF) 2022 di Stadium Perpaduan, di sini semalam.
Abang Johari yang juga penaung Persatuan Taekwondo Sarawak, berkata hanya dasar yang konsisten dapat membantu pertumbuhan dan pembangunan arena sukan negara.
Bagaimapun, katanya kerajaan Sarawak akan terus menyokong mana-mana kejohanan atau acara taekwondo meskipun acara itu digugurkan dalam SUKMA tidak lama lagi.
Sebelum ini, Persatuan Taekwondo Malaysia Sarawak (WTF) memohon status sukan Taekwondo yang disingkir daripada senarai sukan teras untuk dikaji semula ekoran pencapaian cemerlang pada Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea.
Kejohanan itu baru-baru ini menyaksikan kejayaan meraih satu pingat perak dan dua pingat gangsa, sekali gus mencipta sejarah baru untuk Malaysia dalam sukan Taekwondo Poomsae.
Tidak ketinggalan ketika Sukan Asia Tenggara di Hanoi baru-baru ini, pasukan Taekwondo dengan jumlah atlet seramai sembilan orang berjaya meraih satu pingat emas, satu pingat perak, dan
Tiga pingat gangsa.
Untuk rekod, pencapaian pingat emas dalam sukan Taekwondo Kyorugi ini merupakan pingat emas pertama diluar Malaysia sejak 17 tahun lalu.
Untuk rekod, taekwondo disenaraikan antara tiga sukan yang digugurkan daripada SUKMA pada 2017 bersama dengan angkat berat dan sepak takraw.
Bulan lalu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu sebanyak 426 acara yang akan dipertandingkan pada SUKMA akan datang dan beberapa acara telah digugurkan kerana tidak cukup penyertaan dari negeri-negeri lain.
Antara acara yang menerima impak ialah terjun wanita di mana keseluruhan acara telah digugurkan, karate wanita, berpasukan olahraga, wanita 10 ribu meter jalan kaki, acara angkat berat tidak melebihi 76 kilogram dan acara judo wanita untuk acara ‘nage no kata’.
Selain itu, acara kanu polo lelaki dan wanita, tinju lelaki ‘super heavy weight’ 92 kilogram ke atas juga digugurkan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA