TAHNIAH… Dato Sri Fatimah meletakkan songkok tradisional Melanau kepada Tokoh Guru 2022 Cikgu Tuchen di Salat, baru-baru ini.
DALAT: Masyarakat setempat dijemput untuk bersama-sama dengan warga pendidik bagi melaksanakan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, konseps berkenaan adalah untuk melibatkan semua lapisan masyarakat serta seluruh warga pendidik.
“Berdasarkan situasi semasa kita di daerah Dalat, saya berharap bukan setakat guru-guru sahaja yang akan melaksanakan konsep ‘Sekolahku SEJAHTERA’ tetapi haruslan bersama-sama berganding bahu dengan komuniti melalui peranan pemimpin masyarakat,” ujarnya.
Tambah beliau, ini kerana ibu bapa dan masyarakat merupakan orang yang sangat dekat dengan murid-murid.
“Kita sedia maklum bahawa ibu bapa dan masyarakat merupakan orang yang sangat dekat di kalangan murid-murid selain daripada sekolah yang dapat membantu memupuk jati diri yang murni seterusnya dapat berbakti kepada keluarga dan membina komuniti yang sejahtera,” ujarnya.
Fatimah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Dalat 2022 baru-baru ini.
Tambahnya, dalam ‘Sekolahku SEJAHTERA’ terdapat 14 elemen penting yang telah diangkat secara lebih terperinci, bersasar dan berterusan agar sentiasa diterapkan, dihayati serta diamalkan sehingga menjadi budaya bagi warga sekolah dan institusi.
“14 elemen tersebut adalah selamat, seronok ,sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, ekplorasi, rasional dan artikulasi,” tambahnya lagi.
Justeru, ujar Fatimah, penjiwaan elemen tersebut oleh guru-guru, warga pendidikan dan juga komuniti setempat amat penting dalam memastikan anak-anak yang menuntut ilmu di daerah Dalat lahir daripada sistem pendidikan negara dapat bersaing dan mampu berdaya saing di pada peringkat dunia.
“Oleh demikian, pihak Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) dan sekolah perlu memastikan bahawa sekolah menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak belajar yang mana mewujudkan rasa seronok dan menjadikan mereka sihat samaada dari segi fizikal, mental dan juga emosi,” tegasnya.
Malah, Fatimah percaya bahawa murid-murid yang sihat pastinya dapat mengamalkan etika yang baik iaitu nilai moral dan akhlak yang menjadi pegangan murid-murid yang dibentuk dalam proses pembelajaran secara berterusan.
“Seterusnya akan mendorong murid-murid empati dan mengembangkan jati diri supaya beradab sopan dan harmoni di kalangan keluarga, rakan-rakan, masyarakat dan seterusnya di peringkat negara.
“Konsep inilah yang memandu guru-guru untuk melahirkan insan cemerlang untuk bangsa dan Negara,” ujar beliau dengan penuh harapan bahawa akan menjadi scenario di daerah itu.
Sementara itu, seorang pesara guru, Tuchen @ Subeng Gago telah dinamakan sebagai Tokoh Guru 2022 bagi Daerah Dalat.
Majlis berlangsung di Kingwood Resort Mukah berkenaan telah dihadiri oleh Residen Bahagian Mukah, Kueh Leh Poh, Pegawai Pendidikan Daerah Dalat Magdaline Jon , Wakil Majlis Pengetua Bahagian Mukah, Tawaran Gani, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Dalat, Ong Hock Ann dan Pemanca Peter Lai Sakul.