PUTRAJAYA: Program Berjalan Teguh Bersama bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik, meriah dan warna-warni.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia (Men-KOMM) Tan Sri Annuar Musa bersama Jemaah Menteri turut menyertai lebih 15,000 peserta program berjalan secara santai sejauh 2.7 kilometer itu.
Seawal 6 pagi, orang ramai mula tiba di Dataran Putra, di sini dan dilihat penuh bersemangat berpakaian sukan majoriti berwarna merah untuk memeriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.
Dua tahun lepas, pelancaran sambutan hanya diadakan secara maya dan hibrid ekoran pandemik Covid-19.
Keluarga Malaysia yang membanjiri Dataran Putra dilihat membawa anggota keluarga dan Jalur Gemilang sendiri.
Ketibaan Ismail Sabri pada 7.50 pagi disambut Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.
Sejurus tiba,Perdana Menteri melakukan sesi regangan badan bersama Jemaah Menteri dan Keluarga Malaysia.
Dari Dataran Putra, Perdana Menteri dan Keluarga Malaysia yang lain kemudian berjalan ke tempat pemeriksaan pertama melalui Kementerian Wilayah Persekutuan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang serta diiringi pancaragam dan
nyanyian.
Setibanya di persimpangan Kementerian Wilayah Persekutuan, Ismail Sabri dan anggota Jemaah Menteri lain turut menyaksikan persembahan kebudayaan Orang Asli dari Gombak iaitu persembahan Gema Orang Asal.
Keceriaan Ismail Sabri dan Keluarga Malaysia menyaksikan persembahan Orang Asli yang cukup bertenaga dan menghiburkan itu terserlah apabila perdana menteri menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada Kumpulan Bah Bola yang diketuai Bah Sali Bah Nap.
Kumpulan Orang Asli terdiri daripada suku kaum Semai itu turut mempersembahkan lagu rancak ‘Bah Bola’ dan lagu lain bagi memeriahkan lagi program Berjalan Teguh Bersama manakala orang ramai yang menyaksikannya turut menari.
Di Monumen Alaf Baru, para peserta yang tiba pada 8.37 pagi disambut dengan persembahan Irama Borneo secara Infiesta Infobusking oleh Kumpulan Pentarama Sabah.
Dinyanyikan dua penyanyi wanita Ayin dan Tantiana, mereka mendendangkan lagu tempatan Sabah antaranya ‘Original Sabahan’,‘Anak Kampung’, ‘Sayang Kinabalu’ dan ‘Sumandak Sabah’.
Selepas berjalan kira-kira satu kilometer dari Kementerian Wilayah Persekutuan menuju ke lokasi ikonik Putrajaya itu, irama lagu patriotisme antaranya ‘Oh, Malaysiaku!’,‘Tanggal 31’, ‘Seruan Tentera’ dan ‘Darah Satria’, yang dibawakan
Pancaragam Setia Perwira daripada Jabatan Imigresen, nyata membakar semangat peserta untuk meneruskan perjalanan ke lokasi pelancaran program.
Ketibaan Ismail Sabri bersama Jemaah Menteri dan peserta program Berjalan Teguh Bersama di garisan penamat di Dataran Putrajaya pada 9.33 pagi, disambut oleh paluan muzik Pergendangan Malaysia dari pelbagai kaum oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. – Bernama