SELAMAT MAJU JAYA… Dr Annuar menyaksikan upacara ringkas pelepasan Zadrah ke Termasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Lapangan Terbang Sibu, semalam. Turut kelihatan ialah Dr Khairuddin (dua, kanan).
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) merancang untuk menubuhkan pusat e-sukan di kampus (UTS) pada masa hadapan.
Pengerusinya, Dr Annuar Rapaee memberitahu, ini akan menjadikan UTS sebagai peneraju pembangunan e-sukan dalam kalangan universiti di Sarawak.
Menurutnya, UTS mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk tujuan itu (penubuhan pusat e-sukan).
“Dengan penubuhan pusat tersebut pada masa hadapan, UTS akan dapat menerajui pembangunan e-sukan di kalangan universiti di Sarawak melalui inovasi permainan baharu dan melahirkan sekumpulan bakat untuk Sarawak dalam sukan ini yang pantas mendapat tarikan antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ringkas pelepasan pelajar UTS, Nadrah Saufi ke Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Lapangan Terbang Sibu, semalam.
Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I berharap, Nadrah dapat berkongsikan pengalaman untuk menubuhkan pusat Esport di UTS.
“Dengan Nadrah yang akan berentap dalam pertandingan e-sukan pada Termasya Sukan Komanwel di Birmingham, England, dia juga boleh berkongsi pengalamannya untuk menubuhkan pusat e-sukan di UTS,” ujarnya.
Menyentuh tentang terdapat segelintir ibu bapa yang masih keberatan untuk membenarkan anak mereka menyertai e-sukan, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu, ia mungkin disebabkan kebimbangan bahawa kanak-kanak mungkin ketagih dengan permainan dan mengabaikan mereka pengajian.
“Bagi saya, semua ini adalah tentang disiplin diri, sebagai contoh Nadrah, dia terlibat dalam e-sukan, namun masih cemerlang dalam pelajaran di UTS,” ujarnya.
Nadrah Saufi berusia 25 tahun itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi di UTS akan bersaing dalam pertandingan e-sukan pada Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari 1 hingga 8 Ogos ini.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dan bapa Nadrah iaitu Saufi Sepawi.
Oleh AKUN GIMAN