ADENG IDRUS
LAWAS: Kerajaan akan terus memastikan keselamatan rakyat keseluruhan terjamin dalam mendepani wabak Covid-19.
Jawatan kuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas yang mengadakan mesyuarat semalam telah mengarahkan Polis untuk bertindak tegas ke atas mereka yang degil terhadap Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan turut mengarahkan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang membarisi bahagian hadapan Covid-19 untuk saling meningkatkan kerjasama.
Malahan perkongsian maklumat perlu sentiasa dikemas kini agar semua yang terlibat dapat mempertingkatkan barisan masing-masing.
Pihak jawatan kuasa ini juga akan memastikan segala bekalan keperluan rakyat sentiasa mencukupi dan rakyat tidak perlu bertindak panik akibat penyebaran berbagai maklumat tidak sahih di media sosial.
Ir Ahmad Denney turut mendengar laporan perkembangan terkini daripada Pengarah Hospital Bahagian Limbang, Ketua Polis Daerah Lawas dan berbagai agensi berkaitan.
Keseluruhannya tahap kepatuhan penduduk Daerah Lawas terhadap PKP ialah 95 peratus.
Justeru pihak Polis akan bertindak tegas dengan menangkap mereka yang ingkar PKP dan mendakwa mereka mengikut peraturan yang ada.
Selain itu, sejumlah 37 orang telah dikuarantin di pusat kuarantin Lawas yang bertempat di Stadium Tertutup.
Mereka ini adalah dalam kategori golongan yang disuspek dan dalam pengawasan rapi atas faktor kesihatan dan simptom penyakit berjangkit.
Residen Bahagian Limbang itu juga akan mengadakan perjumpaan dengan rakan di Negara Brunei dalam memastikan laluan untuk melalui negara berkenaaan masih boleh digunakan untuk kecemasan dan urusan rasmi.
Ini disebabkan Daerah Limbang dan Lawas terpisah oleh negara Brunei di Temburong dan Brunei Muara menuju ke Miri.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Polis Daerah Lawas, Pengarah-pengarah Hospital Daerah Limbang dan Lawas serta agensi-agensi barisan hadapan lainnya.
Ir Ahmad Denney juga terus merayu agar semua penduduk di Daerah Limbang dan Lawas untuk terus mematuhi PKP dan berdoa agar segala kemudaratan ini berakhir segera.
Beliau juga menyampaikan salam Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Malaysia Dato Henry Sum Agong yang turut terkesan dengan PKP serta terlibat dalam menguruskan berbagai perkara di peringkat negeri dan negara.