KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian mengucap terima kasih kepada pihak berkenaan kerana menghantar pesanan pertama ujian PCR Covid-19 dari Kuala Lumpur petang semalam.
Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM1.3 juta untuk memesan 20,000 unit ujian PCR itu bagi mengesan virus Covid-19.
Beliau berkata, dengan tambahan peralatan ujian itu Hospital Umum Sarawak (HUS) dan UNIMAS mulai minggu ini akan mampu mengadakan 2,000 ujian sehari berbanding 250 ujian sekarang.
HUS dan UNIMAS merupakan dua entiti yang mempunyai makmal IMR disahkan bagi menguji PCR Covid-19 di negeri ini.
Dr Sim sambil menasihati orang ramai supaya duduk di rumah berkata, dengan memiliki lebih banyak peralatan ujian itu, negeri ini boleh mengekang wabak Covid-19.