JAKARTA: Terowong terakhir iaitu terowong No. 2 bagi laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Jakarta-Bandung Indonesia siap dibina pada Selasa, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pengoperasiannya pada Jun 2023.
Majlis perasmian sempena berakhirnya projek pembinaan itu diserikan dengan kehadiran Duta China ke Indonesia, Lu Kang.
Difahamkan, laluan HSR Jakarta-Bandung mempunyai 13 terowong dengan panjang keseluruhan 16,643 meter.
Terowong No. 2 yang terletak di daerah Purwakarta, wilayah Jawa Barat, dengan panjang dan kedalaman keseluruhan masing-masing 1,052 meter dan 53.6 meter itu secara tidak langsung menjadi antara projek paling sukar di sepanjang laluan berkenaan.
Antara masalah yang dihadapi sepanjang pembinaannya ialah bentuk terowong yang berubah serta runtuhan tanah.
Sejak projek itu bermula pada 2018, konsortium pembinaan China diketuai China Railway International Group berjaya menangani impak pandemik COVID-19 dan pelbagai kesukaran dalam pembinaan bagi memastikan kesemua 13 terowong siap dibina.
Pada masa ini, semua terowong dan pembetung HSR Jakarta-Bandung telah siap, di samping lebih 90 peratus kerja-kerja awam bagi lapisan bawah jalan, jambatan dan stesen, manakala keseluruhan pembinaan telah memasuki peringkat pemasangan landasan.
Laluan itu merupakan projek simbolik Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang menandakan kerjasama substantif antara China dan Indonesia yang menghubungkan Jakarta dan Bandung, bandar keempat terbesar di negara itu, sepanjang 142 kilometer.
Difahamkan, masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung akan dipendekkan daripada lebih tiga jam kepada 40 minit sahaja dengan adanya HSR itu. -Bernama