TERBAIK … Tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB (Sayap Bumiputera) yang memenangi pemilihan ke jawatan itu pada
Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali PBB 2022. (Dari kiri) YB Ricky @ Mohammad Radzi Sitam, YB Dr Hazland
Abang Hipni dan YB Datuk Abdullah Saidol. Selain mereka, para perwakilan turut memilih 13 lagi Ahli Majlis Kerja
Tertinggi, semalam. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni memperoleh undi tertinggi dalam saingan merebut 16 kerusi Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut mendapat 867 undi dalam pemilihan untuk kuota sayap Bumiputera parti itu bagi sesi 2022 hingga 2025.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar pada hari terakhir Perhimpunan Agung PBB ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Seperti dijangka semua 10 ADUN termasuk lima timbalan menteri dan seorang Ahli Parlimen, menang.
Kedua tertinggi undi diperoleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Komuniti, Ricky@Mohammad Razi Sitam yang juga ADUN Saribas, dengan mendapat 860 undi.
Ketiga tertinggi dengan undi 836 diperoleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, yang juga ADUN Semop.
Ini diikuti Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Aidel Lariwoo yang juga ADUN Sadong Jaya dengan 830 undi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman yang juga ADUN Tupong, berada di tempat kelima dengan 824 undi.
ADUN Daro, Safiee Ahmad pula mendapat 824 undi, Razali Gapor (ADUN Beting Maro) 806 undi dan Awla Dris (ADUN Simunjan) 798 undi.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab (789 undi); Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Dato Juanda Jaya yang juga ADUN Jemoreng (784 undi) dan muka baharu iaitu ADUN Kalaka, Mohamad Duri (779 undi).
Turut menang yang bukan wakil rakyat adalah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa yang memperoleh 766 undi.
Ini diikuti Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Haidar Khan Asghar Khan (755 undi) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohammed Kamaluddin Mohamad Effendie (687 undi).
Dua lagi slot diisi Mohamad Sardon Zainal (615 undi) dan muka baharu Syed Hamzah Wan Hamid Edruce (529 undi).
Lima calon lain gagal merebut 16 tempat iaitu penyandang jawatan MT, Pandi Suhaili (433 undi); Zainulabidin Ismail (427 undi), Mahmud Ibrahim (396 undi), Paul Druce (288 undi) dan Jay Keram (236 undi).
Bagaimanapun, tiada pertandingan untuk 14 jawatan MT yang diperuntukkan untuk sayap Pesaka.
Semua jawatan tertinggi lain dimenangi tanpa dicabar termasuk Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut menang tanpa tanding ialah dua jawatan Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (mewakili sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bumiputera).
Jawatan Naib Presiden Kanan dikekalkan Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka).
Jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera disandang Datuk Julaihi Narawi; Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Naib Presiden parti bagi sayap Pesaka pula ialah Datuk Gerawat Gala, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Dato Gerald Rentap Jabu.
Fatimah kekal sebagai Ketua Wanita PBB, manakala muka baharu, Miro Simuh selaku Ketua Pemuda. Status kedua-duanya juga menduduki jawatan Naib Presiden secara automatik.
Perhimpunan agung kali ini bertemakan “Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak” dihadiri 2,420 perwakilan mewakili 82 Cawangan PBB.
Oleh JEAKQLEYN YACHO