MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap, para atlet negara akan mempersembahkan prestasi terbaik mereka pada temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan bermula pada 12 hingga 23 Mei ini.
Beliau berkata ia penting kerana pencapaian di Sukan SEA akan menjadi titik permulaan untuk meneruskan momentum kejayaan pada dua temasya utama selepas itu – Sukan Komanwel Birmingham bermula Julai dan Sukan Asia Hangzhou pada September.
“Apabila menyarung jersi kebangsaan, kita tidak boleh memberi kedua atau ketiga terbaik, harus memberi prestasi yang terbaik kita. Bagi saya, walaupun seseorang atlet itu tidak dapat membawa pulang pingat, tetapi jika mereka berlatih bersungguh-sungguh dan dapat atasi rekod peribadi, ia amat baik.
“Namun, saya berdoa agar para atlet kita bukan sahaja beri persembahan terbaik, tetapi turut membawa pulang sebanyak pingat emas yang boleh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog dan majlis berbuka puasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia, malam kelmarin.
Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata walaupun Malaysia bakal menghantar kontinjen yang besar dengan lebih 600 atlet pada kali ini, kontinjen negara tidak boleh terlalu optimis untuk meletakkan sasaran yang tinggi.
“Kita ada banyak pesaing yang hebat. Sebagai contoh, dulu bagi acara karate Sukan SEA, boleh dikatakan emas dalam tangan, tetapi kini negara lain dah meningkat, seperti Thailand yang menyediakan atlet dengan perancangan lebih awal dan mendapatkan jurulatih tersohor dari Turki,” tambahnya.
Beliau berkata sasaran sebenar pingat dan pembawa bendera kontinjen negara akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan majlis penyerahan Jalur Gemilang dijangka diadakan pada minggu depan.
Mengulas mengenai Sukan Komanwel, beliau berkata lawatannya bersama pihak Majlis Sukan Negara ke Birmingham baru-baru ini, mendapati persediaan penganjur berada pada tahap terbaik.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker pada hujung bulan lepas di Dewan Negara mengumumkan sasaran awal Sukan SEA adalah 79 pingat termasuk 31 emas.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berharap komunikasi dan hubungan KBS dengan media dan SAM dapat dieratkan selepas ini, serta mengakui pihaknya harus lebih terbuka untuk senang dihubungi oleh media. – Bernama