CENDERAHATI… Azizul Annuar Adenan (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dato Sri Abdul Karim
Rahman Hamzah (tiga kiri) sambil disaksikan oleh tetamu kehormat yang hadir di Kuching, baru-baru ini.
JAWATANKUASA penganjur Kejohanan Taekwondo Antarabangsa (WTF) Premier Sarawak Piala Borneo 2022 telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah baru-baru ini.
Delegasi Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) diketuai oleh Presidennya, Azizul Annuar Adenan.
Antara yang hadir semasa pertemuan itu ialah Naib Presidennya Then Yit Fui, Setiausaha Agung Wang Teck Zen dan Pengerusi Teknikal Negerinya Grandmaster Tan Check Joon.
Delegasi Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) telah memberi taklimat kepada Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai perkembangan program berterusan tahunan persatuan negeri dan acara antarabangsa tersebut yang disokong oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS). Acara itu turut mendapat persetujuan Taekwondo Malaysia (WTF).
Jadual kejohanan Taekwondo antarabangsa (WTF) tersebut akan diadakan di Pusat Latihan SALCRA Bajo dari 18 hingga 21 Ogos ini.
Kira-kira 20 hingga 30 negara dan pelbagai persatuan negeri dan kelab perdana di seluruh Malaysia dijangka akan mengambil bahagian.
Dengan lebih banyak sempadan dibuka perlahan-lahan dan langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat, sudah tiba masanya persatuan negeri kita menyambung semula program berterusan tahunannya selepas dua tahun terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.
Oleh JEAKQLEYN YACHO