KUALA LUMPUR: Bermula 1 April, semua pengembara yang memasuki negara ini namun tidak mendapat vaksinasi lengkap atau tidak menerima vaksinasi perlu menjalani kuarantin selama lima hari.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, selepas melengkapkan tempoh itu, individu berkenaan perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Contohnya mereka tak boleh makan di restoran sehingga dapat vaksin lengkap,” katanya, dalam sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.
Khairy berkata, bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, mereka perlu memuat naik bukti pengecualian yang diberikan pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera.
Sementara itu, Khairy berkata, pengembara kanak-kanak dan remaja berumur 17 ke bawah, tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin, sebaliknya perlu lakukan ujian Covid-19 RTK (Ag) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di negara ini.
Beliau berkata, tempoh kuarantin bagi pengembara lengkap vaksinasi yang sampai ke Malaysia sebelum April adalah tertakluk kepada protokol sebelum ini dan hanya akan tamat pada 1 April.
“Sekiranya pengembara mula menjalani kuarantin pada 29 Mac, tidak perlu seminggu, perintah kuarantin individu berkenaan tetap akan tamat pada 1 April ini (sebaik sahaja tarikh peralihan itu berkuat kuasa),” katanya.
Khairy pada sidang media itu turut melancarkan portal https://covidprotocol.moh.gov.my/ yang mempunyai protokol individu semasa berkaitan Covid-19.
Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.
Ismail Sabri berkata, individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Perdana menteri berkata, ini adalah prosedur wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia, mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia.
— Bernama