MCMC, Forum Kandungan perkukuh pengurusan kandungan penstriman bertanggungjawab

Facebook
WhatsApp
SESI libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video.

CYBERJAYA, 21 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama Forum Kandungan, telah mengadakan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video, termasuk Perkhidmatan Penstriman Dalam Talian (OTT) dan Video Atas Permintaan (VOD), bagi memperkukuh pengurusan kandungan yang bertanggungjawab serta memastikan sensitiviti agama, kaum, budaya dan sosial di Malaysia terus dihormati.

Sesi libat urus ini selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil, bahawa kebebasan berkarya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian kaum dan sensitiviti budaya yang menjadi asas perpaduan negara.

MCMC menekankan kepentingan langkah perlindungan yang berkesan oleh penyedia perkhidmatan, khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang tidak sesuai.

Langkah ini merangkumi semakan kandungan dalaman, pengelasan umur yang bersesuaian, kawalan ibu bapa dan mekanisme pengendalian aduan yang mudah diakses.

Sesi tersebut turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan perbincangan merangkumi pematuhan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta garis panduan dan amalan pengelasan kandungan yang berkaitan.

Perbincangan turut mengambil kira perbezaan kerangka kawal selia antara perkhidmatan OTT dan VOD dengan penyiaran konvensional, di samping memberi satu ruang kepada pemain industri untuk mendapatkan penjelasan, berkongsi pandangan dan meneroka langkah penambahbaikan yang praktikal.

Antara pihak industri yang menyertai sesi ini ialah Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Persatuan Industri Video Asia (AVIA), Astro (Astro GO dan Sooka), iQIYI, Media Prima Berhad (Tonton), MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Viu.

Penyertaan ini mencerminkan penglibatan meluas penyedia kandungan serta persatuan industri tempatan dan antarabangsa.

Keahlian AVIA turut merangkumi pemain industri antarabangsa utama seperti Disney, Amazon dan Warner Bros. Discovery (WBD).

MCMC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan perlu mengurus kandungan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang Malaysia yang terpakai.

MCMC dan Forum Kandungan akan terus bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama.

Walau bagaimanapun, tindakan kawal selia yang sewajarnya akan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.