MCMC siasat kandungan facebook disyaki menghina institusi diraja Negeri Sembilan

Facebook
WhatsApp
MCMC mengambil rakaman percakapan individu berkenaan untuk membantu siasatan. Foto MCMC

CYBERJAYA, 21 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung kandungan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “Che GuBard” yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan bahawa kandungan berkenaan menyentuh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, serta kerabat diraja negeri itu.

Sehubungan itu, individu yang dipercayai mengendalikan akaun berkenaan hadir ke Balai Polis Cyberjaya hari ini bagi membantu siasatan.

Rakaman percakapan individu berkenaan telah diambil bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Selain itu, sebuah telefon bimbit bersama satu kad SIM turut disita bagi membantu siasatan.

MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian yang boleh mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak hormat terhadap institusi diraja.

Menurut suruhanjaya itu, kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selaras dengan undang-undang negara.

Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan serta proses perundangan yang berkuat kuasa.