NADAL julang trofi keempat Terbuka Mexico di Acapulco.
JUARA Terbuka Australia, Rafael Nadal menjulang trofi keempat Terbuka Mexico di Acapulco selepas menang mudah 6-4, 6-4 ke atas Cameron Norrie dalam aksi final kejohanan bertaraf 500 ATP itu.
Nadal beraksi di Acapulco tanpa tewas dalam sebarang set untuk merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut pada tahun ini, selepas merangkul trofi Terbuka Australia dan Summer Set Melbourne bulan lalu.
Pemain kelahiran Sepanyol yang menduduki ranking nombor lima dunia itu memenangi 15 perlawanan berturut-turut sejak sembuh dari kecederaan kaki sehingga terpaksa berehat selama enam bulan tahun lalu.
Dia berada pada tahap terbaik apabila berjaya mengetepikan Norrie dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 54 minit.
“Ia hari yang sangat panas dan dalam keadaan sukar. Cameron adalah pemain yang bagus, mempunyai banyak muslihat membuatkan anda kurang selesa.
“Saya berdepan beberapa keadaan sukar dalam aksi ini namun masih mampu untuk terselamat dan mengambil kesempatan di atas peluang yang ada,” katanya. – AFP